Sepupuku Suamiku

Novel Dari Lynn Allyna

APA KATA HEROIN?


"Nana tak paksa abang. keadaan yang memaksa. Nana tak mahu jika kita teruskan perhubungan ini, hidup orang lain akan porak-peranda. nana tak mahu menjadi penyebab jika suatu hari nanti ada orang yang akan terkorban kerana perhubungan ni"

APA KATA HERO?


"Abang belum makan, Rindu sangat dengan masakan sayang. Sayang masih tak mahu balik ke?"

Sepupuku Suamiku - Bab 6

BAB 6

PALUAN kompang memeriahkan suasana. Majlis akad nikah sudah selamat dijalankan. Kini Diana Syakira binti Suhaimi sah menjadi isteri kepada Mohd. Hisyam bin Mohd. Nor. Sukar untuk digambarkan perasaan Nana saat Abang Syam melafazkan akad nikah sebentar tadi. Air jernih begitu mudah menitis dari tubir matanya. Terharu. Saat bibir Abang Syam mengucup mesra dahinya, terlalu indah perasaan itu untuk digambarkan.

"Meriahnya wedding kau, Nana. Jealous aku tau!" Farah yang telah sampai ke rumahnya pagi-pagi tadi begitu teruja dengan pernikahan teman baiknya ini.

"Yalah. Aku pun cemburu. Rasa macam nak kahwin esok jugak." Suria pula menyampuk.

"Hah, kalau macam tu, nikah ajelah. Nanti aku bagitau dekat Zarul ya?" usik Nana.

"Isy, aku gurau ajelah. Seronok tengok orang kahwin. Tapi aku tak sedia lagilah. Duit pun tak ada ni."

"Eh, Nana. Kau tak bagitau Johan ke yang kau kahwin hari ni?" tanya Farah. Tiba-tiba dia teringatkan lelaki itu. Lelaki yang begitu mengharapkan cinta Nana. Tidak pernah putus asa selama empat tahun ini. Kalau dia tahu pujaan hatinya sudah jadi milik orang sekarang, mesti dia sangat kecewa.

"Ah, buat apa aku nak bagitau dia? Dia bukannya siapa-siapa pun. Korang pun kena ingat, jangan bagitau siapa-siapa tau yang aku dah nikah. Especially mamat tu. Promise?"

"Okey."

Suria dan Farah menjawab serentak. Keras hati betul Si Nana ni. Langsung tak terbuka hati untuk menerima cinta Johan. Cakaplah apa sahaja yang Johan tidak buat untuknya. Semuanya Johan lakukan demi memiliki cintanya. Johan sanggup ponteng kuliah semata-mata untuk menghantarnya ke klinik semasa dia demam, tidak lupa memberi hadiah tidak kira pada hari jadinya atau tidak. Terlalu tulus cinta lelaki itu untuk Nana tetapi Nana langsung tidak tersentuh hati.

"Nana, dah nak maghrib ni. Jom kita masuk. Tak elok duduk luar waktu macam ni."

Abang Syam yang menyapa tiba-tiba menghentikan gelak ketawa mereka bertiga.

Alahai, lembutnya suara. Ini yang buat aku makin terpikat ni....

"Yalah Nana. Kalau macam tu, aku dengan Farah balik dululah. Kita jumpa kat kolej sajalah nanti ya. Tapi jangan buat-buat lupa nak datang pulak. Maklumlah, dah dapat laki handsome," usik Suria membuatkan Nana tersipu malu.

"Isy, korang ni. Aku tahulah. Thanks sebab sudi datang. Ingat janji kita tau!" Nana memeluk kedua-dua sahabat baiknya sebelum kedua-duanya beredar.




NANA mundar-mandir di dalam bilik. Jantungnya berdegup kencang. Macam mana ni? Aku mana reti bab-bab macam ni. Habislah… gumam hati Nana. Dulu, masa teman-temannya bercerita mengenai malam pertama, dia langsung tidak ambil peduli. Alasannya, lambat lagi. Nanti boleh belajar. Hah, sekarang, dia juga yang tak keruan.

Pintu bilik dibuka. Terpacul wajah Abang Syam dengan senyuman mesranya. Ya Allah, kuatkanlah hati hamba-Mu, doa Nana di dalam hati. Wajahnya sudah pucat.

"Nana tak tidur lagi? Tak penat ke?" tanya Hisyam seraya duduk di sebelah isterinya.

"Belum. Tak ngantuk lagi."

Isy, janganlah duduk rapat-rapat sangat. Seram ni...! Nana makin tidak senang duduk apabila Hisyam merapatkan kedudukannya.

"Tunggu abang ya?"

Menggoda sekali suara Abang Syam di pendengaran Nana. Aduh… janganlah buat macam ni. Amma... appa... help me! "Ya. Eh, bukan... bukan. Betul, Nana tak ngantuk lagi."

Alamak, terkantoilah pulak. Eee... malunya!

Hisyam tergelak. Lucu melihat Nana gelabah. Kasihan dia. Mesti terkejut kena kahwin tiba-tiba macam ini. Dia sendiri juga bagaikan tidak percaya yang dia berkahwin dengan sepupu yang sudah dianggap seperti adik kandungnya sendiri. Memang pada mulanya dia yang bersetuju dengan cadangan emaknya untuk menggantikan tempat Hani dengan Nana kerana kasihankan emaknya. Dia tidak sanggup melihat emaknya menanggung malu. Bukan dia tidak kasihankan Nana, tetapi entahlah. Fikirannya tidak tenang ketika itu.

Keputusan Hani untuk memutuskan pertunangan mereka di saat akhir amat menghancurkan hatinya. Selama tujuh tahun menyulam cinta, tiba-tiba pada saat pernikahan mereka semakin hampir, Hani memutuskannya tanpa sebarang alasan yang kukuh. Terlalu payah untuk dia menerima hakikat bahawa cinta pertamanya hancur begitu sahaja. Dia terlalu mencintai Hani. Dan kini, dia perlu menyemai perasaan cinta itu sekali lagi terhadap isterinya. Terlalu payah dirasakan kerana perasaan sayangnya pada Nana adalah perasaan sayang seorang abang kepada adiknya. Tetapi dia harus mencuba. Gadis di hadapannya ini telah banyak berkorban untuk dia sekeluarga.

"Abang, kenapa ni? Abang penat ya. Kalau abang nak tidur dulu, tidurlah."

Pelik Nana melihat suaminya tiba-tiba senyap. Tadi bukan main romantik!

"Taklah. Nana, abang nak tanya satu soalan boleh?" Dia mesti tahu perkara ini. Untuk kebahagiaan mereka juga.

"Apa dia? Tanya ajelah."

Abang nak tanya seribu soalan pun Nana sanggup jawab.

"Hmmm... dah..."

Tiba-tiba telefon bimbit Nana berdering. Telefon dicapai. Alamak, kenapa masa ni jugak dia nak call? Nana memutuskan talian.

"Siapa tu? Kenapa tak jawab?"

Teman lelakinyakah? Mungkin dia tak selesa kalau aku ada di sini.

"Errr... tak ada siapa-siapalah. Salah nombor kut," jawab Nana sedikit gusar. Telefon bimbitnya sekali lagi berdering.

"Jawablah. Abang nak ke bawah kejap." Hisyam bingkas bangun dan menuju ke tingkat bawah.

Nana hanya memandang dengan perasaan yang sebal. Isy, mamat sengal ni! Merosakkan suasana orang betullah. Tak ada masa lain ke nak telefon? Tak payah telefon terus pun tak apa! Nak tak nak dia jawab juga panggilan itu.




"NANA mana? Dah tidur ke?" tanya Zahlia yang sedang sibuk mengemaskan pinggan mangkuk apabila melihat kehadiran abangnya.

"Ada kat atas. Tak tidur lagi."

"Kenapa ni? Macam tak ada mood aje? Hai, takkan tak sampai sehari nikah dah gaduh kut?" usik Zahlia.

"Isy, ke situ pulak. Mana ada! Abang tak macam awak tu. Hari-hari gaduh. Tu belum kahwin, esok dah kahwin, entah apa jadi kat Si Haidar tu," balas Hisyam.

Zahlia mencebik. Ada sahaja idea abangnya hendak mengenakannya.

"Yaya, abang nak tanya sikit boleh?"

Hisyam mula mengatur bicara. Mungkin adiknya tahu. Mereka berdua rapat. Mungkin Nana ada ceritakan apa-apa pada Zahlia.

"Apa dia?"

"Nana ada cerita apa-apa tak kat Yaya? Pasal pakwe dia ke... apa ke?"

"Hah? Tak ada pulak. Kenapa? Abang jealous ya? Tanyalah dia sendiri."

Hai, apalah abang aku sorang ni. Benda tu pun takut ke nak tanya bini sendiri?

"Hmmm... tak apalah. Abang nak naik dulu. Kesian Nana sorang-sorang."

"Kesian ke rindu? Jangan ganas-ganas sangat, ya bang. Kesian anak orang tu. Budak lagi tu."

Zahlia tergelak kuat selepas mengusik abangnya untuk kesekian kalinya.

Hisyam sudah sedia dengan kain buruk di tangan. Balingannya tepat mengena muka Zahlia.

"Hah, padan muka! Gelak lagi."

Giliran Hisyam pula yang gelak seraya meninggalkan adiknya yang mencuka.

Pintu bilik dikuak. Terang dan senyap. Hisyam melihat sekujur tubuh Nana terbaring di katilnya. Gadis itu dihampiri. Nyenyak sekali tidurnya. Telefon masih di tangan.

Mungkin benar itu teman lelaki dia. Dia mencapai bantal dan merebahkan diri di atas karpet. Mungkin Nana perlukan masa. Biarlah... dia akan tunggu sehingga Nana betul-betul bersedia.