Sepupuku Suamiku

Novel Dari Lynn Allyna

APA KATA HEROIN?


"Nana tak paksa abang. keadaan yang memaksa. Nana tak mahu jika kita teruskan perhubungan ini, hidup orang lain akan porak-peranda. nana tak mahu menjadi penyebab jika suatu hari nanti ada orang yang akan terkorban kerana perhubungan ni"

APA KATA HERO?


"Abang belum makan, Rindu sangat dengan masakan sayang. Sayang masih tak mahu balik ke?"

Sepupuku Suamiku - Bab 13

BAB 13

NANA memerhatikan sekali lagi penampilannya di cermin. Dia senyum puas hati. Jarang dia berpakaian begini, tetapi demi suaminya, dia pakai juga. Beg pakaian dicapai. "Farah, aku balik dulu ya? Suria mana?"

"Ada dalam bilik dia. Kau balik sini lagi tak? Besar aje beg aku tengok?" Farah masih sempat memerli.

"Isy, mestilah balik. Habis tu kuliah aku macam mana?" balas Nana selamba.

"Tak adalah. Beg kau besar sangat. Macam tak nak balik. Okeylah, aku doakan kau bahagia. Nanti dah berkepit dengan cik abang, jangan lupakan kami kat sini pulak."

"Kau ni... aku balik bukannya lama. Lusa aku baliklah sini semula. Nanti kalau kau nak apa-apa, kau call aku. Aku tolong belikan. Kirim salam kat Suria ya."

"Tapi benda yang aku nak beli ni mahal. Kau boleh belikan ke?" Farah buat muka serius.

"Apa dia? Kalau tak sampai seratus tu boleh la aku belikan."

Farah hendak ketawa tetapi ditahan. Lurus bendul betul kawan aku ni. "Laki kau. Boleh?"

Ketawa Farah terhambur. Bergema satu rumah.

Nana menjegilkan matanya. "Kalau yang tu, kau tunggulah sampai kiamat. Insya-Allah takkan dapat."

Nana angkat beg pakaiannya dan terus keluar. Sehari Farah tidak menyakatnya, memang tidak sah.

"Nana, aku gurau ajelah!" Laung Farah. Ketawanya masih bersisa. Dia cemburu. Pasti Nana bahagia. Entah bila dia akan rasa begitu juga.




NANA menanti dengan sabar. Seketika kemudian dia tersenyum lega apabila melihat kereta Abang Hisyam berhenti di depannya.

Hisyam keluar dari perut kereta dan membukakan pintu untuk Nana.

Aduh… romantiknya. Tolong bukak pintu, tolong tutup sekali pulak tu. Rasa macam puteri. Senyumnya sampai ke telinga.

Hisyam mengucup lembut dahi isterinya.

Merah muka Nana menahan malu.

"Nana dah makan ke? Kita pergi makan dulu ya?"

Nana mengangguk. Kereta meluncur meninggalkan pekarangan kolej kediaman. Pergilah mana-mana saja, bang. Ke bulan pun Nana sanggup ikut abang.

"Nana nak makan apa? Western, Malay, Chinese?" Hisyam bertanya sekadar ingin menarik perhatian Nana yang masih berdiam diri.

"Tak kisah. Nana makan aje apa-apa."

Tolak batu dengan kayu aje, bang.

"Hmmm… kalau macam tu kita makan dekat depan tu sajalah."

"Hah?"

Mana ada kedai kat situ. Pokok banyaklah. Biar betul laki aku ni. Ke aku yang rabun? "Mana ada kedai kat situ, bang?"

Mata Nana masih melilau-lilau ke arah yang ditunjukkan oleh Hisyam, mencari jika ada kedai yang terselit di celah pokok-pokok walaupun rasanya tidak ada.

"Kata nak makan apa-apa saja. Makan kayu dengan batu pun bolehlah." Hisyam ketawa geli hati kerana dapat mengenakan Nana. Muka gadis itu bukan main serius tika mencari kedai makan di hadapan.

"Eee... jahatlah abang ni. Ingatkan betul-betul tadi. Semangat orang cari. Tak suka tau!" Nana buat-buat merajuk. Lengan suaminya dipukul manja. Mukanya yang sememangnya merah bertambah merah apabila disakat oleh suaminya.

Alahai abang. Macam manalah aku tak jatuh cinta dengan dia ni. Dahlah romantik, kelakar pulak tu. I love you, abang.

"Oh… main pukul-pukul orang ye. Nanti sampai rumah, siap Nana...." Hisyam masih lagi mengusik.

Nana menelan air liur. Gulp, balik rumah? Alamak, mamat ni nak buat apa kat aku? Ni yang seram ni.

Kereta Hisyam berhenti di hadapan sebuah restoran mewah.

Nana tergamam. Nak makan kat sini ke?

"Okey. Kita dah sampai. Jom."

Nana melangkah keluar sebaik sahaja pintu kereta dibuka oleh Hisyam.

Isy… malunya nak makan kat sini. Dahlah aku pakai sempoi aje ni. Jeans dengan blaus tahun lepas. Warna pun dah nak luntur ni!

"Kenapa ni? Tak suka makan kat sini ke?" tanya Hisyam yang hairan apabila melihat riak wajah Nana seolah-olah kurang senang.

"Bukan macam tu. Nana tak biasa makan kat tempat macam ni. Malu… baju pun tak cantik."

Hisyam ketawa lucu. Nana… Nana. Kesian betul isteri aku ni.

"Tak apa. Okey apa baju ni. Cantik aje abang tengok. Kat dalam tu, yang pakai baju tak cukup kain pun ada. Dia orang tak malu pun. Dahlah. Kita nak makan aje. Bukan nak tunjuk fesyen," kata Hisyam cuba memujuk Nana.

Betul jugak. Sepatutnya, yang pakai baju tak cukup inci tu yang patut malu. Ah, bantai sajalah. Bukan ada orang kenal aku pun. Asalkan ada abang, aku tak kisah. Nana tersenyum. Huluran tangan Hisyam disambut. Mereka beriringan masuk ke dalam restoran.

Mak ai… romantiknya! Lampu suram, sentimental music dan kebanyakan orang dalam restoran itu adalah pasangan kekasih atau suami isteri. Mungkin juga kekasih gelap.

"Nana nak makan apa? Order aje apa yang Nana nak makan, okey."

Order apa saja? Nak order apa? Satu benda pun tak tahu ni. Kalau setakat black papper beefsteak ke, tanduri ke, aku taulah. Ni, nak sebut pun terbelit lidah, manalah aku tau!

"Hmmm… abang order ajelah. Nana tak tahu apa yang sedap kat sini," putus Nana.

Tak tahu apa yang sedap tu satu hal, ni yang paling kronik ni... tak tahu macam mana nak sebut.

"Hmmm… kalau macam tu, abang order apa-apa sajalah ya?"

Nana mengangguk. Ternganga dia saat Hisyam memesan makanan. Abang order apa tu? Apalah rasa makanan tu nanti. Tu la tadi. Masa tanya, tak nak cakap. Kalau makan kat kedai mamak, kan senang? Order aje mi goreng mamak. Senang. Sedap pun sedap. Tapi tak kisahlah. Merasa jugak aku makan kat restoran mewah macam ni. Candle light dinner lagi. Jangan jealous…!

Sejurus kemudian, Nana pandang tidak berkelip hidangan yang dipesan. Udang galah, ayam, sayur, sup dan ada dua tiga jenis lauk lagi yang dia sendiri pun tidak tahu apa ke bendanya.

Isy, banyaknya lauk. Siapa nak habiskan ni? Aku ni dahlah bukan jenis makan banyak!

"Hmmm… makanlah."

Macam mana nak makan ni? Udang galah ni nampak macam sedap. Tapi, nak kopek macam mana ni? Pakai tangan, aci?

"Ambiklah udang ni. Sedap tau. Favorite abang ni."

Macam mana nak ambik. Tak tahu! Nana kecur.

Hisyam tersenyum. Dia tahu Nana tidak tahu bagai mana hendak mengeluarkan isi udang itu.

"Nah," kata Hisyam sambil isi udang galah diletakkan ke dalam pinggan Nana.

Nana senyum meleret.

Yes. Dapat makan udang galah. Sedapnya… Macam tahu-tahu aje abang ni. Ni makin sayang ni.

Hisyam melirik ke arah isterinya membuatkan gadis itu tersipu malu. Sopan sekali Nana menyuap makanan ke dalam mulutnya. Seakan tidak terbuka mulutnya kerana malu.

Abang, janganlah pandang macam tu. Malu ni…Sekali lagi Nana tergamam apabila Hisyam menyuakan sudu ke arahnya. Suapan disambut malu-malu. Aduh… boleh pengsan aku macam ni.




NANA melangkah ke dalam rumah dengan perasaan berdebar-debar. Matanya memandang segenap sudut rumah yang agak luas itu. Susunan perabotnya rapi dan sederhana. Hanya terdapat set sofa, TV, beberapa almari dan bantal yang tersusun di lantai berhadapan dengan TV.

Pandai abang kemas rumah. Kalau bagi kat aku, entah apa jadi kat rumah ni.

"Abang tinggal sorang aje ke kat rumah ni?" tanya Nana, pembuka bicara.

"Ya. Sebelum kahwin tinggal berdua dengan kawan abang. Tapi dia dah pindah kat rumah bawah," sahut Hisyam sambil meletakkan beg pakaian Nana ke dalam biliknya.

"Nana duduk dulu, okey. Abang nak solat kejap. Kalau nak makan apa-apa, pergi aje kat dapur." Hisyam senyum sebelum berlalu pergi.

Nana mengangguk. Alat kawalan TV dicapai. Matanya masih melilau-lilau memerhatikan sekeliling.

Bilik ada tiga. Malam ni aku nak tidur mana? Dengan abang ke? Tapi abang nak ke? Daripada abang tidur kat atas lantai, baik aku terus tidur kat bilik lain aje. Tapi beg aku mana ya?

Matanya mencari-cari beg pakaiannya. Seingatnya, Abang Hisyam yang mengangkat begnya tadi. Mana pulak abang letak?

"Nana cari apa ni? Nana solat tak? Kalau nak solat, pergilah. Abang dah siapkan kat dalam bilik."

Nana bangun dan menuju ke bilik. Begnya ada di situ. Selesai solat, Nana kembali ke ruang tamu.

Hisyam sedang leka menonton siaran National Geographic. Dia tersenyum apabila melihat Nana.

"Kenapa duduk jauh sangat. Duduklah kat sebelah abang. Atau tak sudi?" Sengaja Hisyam menduga.

"Hah? Hmmm…." Nana bangun dan melabuhkan duduknya di sebelah Hisyam. Haruman yang dipakai oleh Hisyam menusuk hidungnya. Jantungnya berdegup kencang.Melihatkan Hisyam yang hanya memakai kain pelekat dan baju Pagoda pun sudah membuatkannya tak keruan. Seksi. Inikan pula duduk di sebelah.

Hisyam menukar siaran HBO. ‘Mr. and Mrs. Smith’ lakonan Brad Pitt dan Angelina Jolie.

Alamak, babak yang tak sepatutnya la pulak. Nana makin resah.

Hisyam dapat melihat kegelisahan gadis itu. "Nana, abang nak tanya satu perkara, boleh?"

Dia perlu tahu perkara sebenar dengan segera. Dia tidak mahu Nana terus terseksa dengan ikatan ini.

"Ada apa, bang? Tanyalah."

"Abang nak Nana jawab dengan ikhlas dan jujur."

Isy, makin suspens. Apa hal pulak ni?

"Abang tahu, perkahwinan kita ni bukan atas kerelaan Nana. Abang pun sebenarnya keliru masa mak cadangkan Nana untuk gantikan bekas tunang abang. Tapi, abang tak dapat nak bantah. Abang pun tak tahu kenapa. Tapi sekarang, abang rasa abang dah tahu kenapa. Mungkin Nana memang dijodohkan untuk abang."

Terharu Nana mendengarnya. Nana rela, abang. Memang ini yang Nana inginkan.

"Tapi abang tak tahu perasaan Nana macam mana. Abang mintak maaf kalau Nana dah ada pilihan sendiri dan kalau Nana rasa terseksa dengan ikatan ni, abang rela le…"

Nana menutup mulut suaminya. Tidak sanggup mendengar perkataan seterusnya. Air matanya laju sahaja mengalir.

Hisyam kaget.

"Nana bahagia, bang. Bahagia sangat. Nana memang reda dengan perkahwinan kita. Nana hanya sayang abang sorang saja. Tak ada orang lain dalam hati Nana." Sendu Nana jelas kedengaran.

Pilu hati Hisyam mendengar pengakuan Nana. Hapus semua kesangsian di dalam hatinya. Tubuh kecil Nana dipeluk erat. Dahi isterinya dikucup penuh kasih. Ya Allah, jika ini jodoh yang Kau tentukan untukku, redailah perhubungan ini. Dakapan Hisyam semakin erat.

Nana bahagia. Rasa selamat dalam pelukan itu. Pertama kali dia merasakan amat selesa dalam dakapan seorang lelaki. Kecupan Hisyam beralih ke pipi, mata, hidung dan bibir mungil Nana. Nana kaku. Tidak tahu apa yang harus dilakukan. Dia tidak reti. Mukanya panas. Wajahnya dialih ke arah lain. Malu.

TV dipadamkan. Tubuh gadis itu didukung.

Nana kaget. Tidak sanggup membayangkan apa yang akan berlaku selepas ini.

"Kenapa ni? Nana takut?"

Menggoda sekali suara Hisyam di pendengaran Nana. Terasa terhenti nafasnya. Saat bibir Hisyam sekali lagi ingin singgah ke bibir Nana, gadis itu mengalihkan mukanya.

"Cup!" Nana mengangkat jari tanda mahu ke tandas.

Suaminya tergelak. Takut sangat ke bini aku ni? Sampai nak terkucil.

Isy, macam mana ni? Bab-bab ni yang aku lemah ni...! Nana mundar-mandir di dalam tandas. Kepala yang tidak gatal digaru. Sepuluh minit kemudian, dia keluar.

"Tak apa kalau Nana tak sedia lagi. Abang tak paksa. Dahlah tu. Jom tidur," pujuk Hisyam. Kasihan pula dia melihat Nana yang jelas menggelabah.

Nana melangkah perlahan menuju ke katil.

"Tidurlah. Dah lewat ni."

Nana mengangguk. Sorry abang. Nana tak tahu kenapa Nana gelabah sangat tadi. Tapi apa yang penting, malam ini tidurnya lena sekali dalam dakapan suami yang tercinta. Moga malam-malam lain juga seindah malam ini.

0 comments:

Post a Comment